Tuesday, September 2, 2014

Bersyukur dapat bekerja dari rumah


Teks: Nur Mimi Izzati Rahim


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.
Apa khabar sahabat semua? Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-57. Tiga hari bercuti mesti seronok  menghabiskan masa bersama keluarga. Isnin semalam sempat beriadah di tasik titiwangsa bersama seorang teman rapat yang juga mempunyai anak sebaya dengan anak saya. beliau banyak bercerita tentang kesukaran menguruskan anak dalam masa yang sama sibuk bekerja. Dan bercadang mahu bekerja di rumah satu hari nanti.


Alhamdulillah... Syukur rasanya bila berpeluang menguruskan anak-anak dengan sempurna dari pagi hingga petang. Hari ini rutin menyiapkan anak-anak bermula seperti biasa, tapi kelihatan pada raut wajah anak-anak sedikit lemau mahu ke sekolah, maklumlah lama bercuti.


Bila bekerja di rumah, saya tidak perlu bergegas ke tempat kerja, saya sempat menyediakan sarapan untuk anak. Selepas menghantar  anak-anak ke sekolah, biasanya saya akan singgah ke pasar untuk membeli serba sedikit bahan untuk memasak.  Saya akan sampai balik di rumah lebih kurang 9 pagi.


Biasanya saya akan berada di depan laptop pada pakul 9.30 pagi, Ini adalah masa saya bekerja. Dulu saya seorang suri rumah sepenuh masa, berbeza sangat rasanya. Dengan mula bekerja dari rumah saya semakin cergas menguruskan masa dan keluarga. Banyak menggunakan otak membuatkan kita lebih sihat dan menguatkan mental.


Menetapkan waktu rehat seperti orang yang bekerja di luar, biasanya pukul 12.30 saya akan masuk dapur untuk meyiapkan makan tengah hari. Selepas solat saya sambung bekerja lagi sementara menunggu tepat jam 2.30 petang untuk menjemput anak-anak pulang dari sekolah.


Dalam perjalanan pulang bersama anak-anak, bermacam cerita di sekolah saya dengar. Kakak dengan cerita kawan barunya, adik pula dengan apa yang di ajar di sekolah hari ini. Biasanya belum sampai rumah meraka akan tertidur. Boleh lah saya sambung bekerja lagi.


Petang pula, saya akan melayan anak-anak bermain. Sambil menghabiskan bacaan yang baru saya beli. Memang namanya budak-budak mereka tidak pernah rasa penat. Kita pula yang penat nak melayan, tapi seronok dan rasa puas bila melihat anak-anak membesar depan mata. Begitulah rutin harian saya sebagai suri yang bekerja di rumah.


Bila kita tidak perlu berkejar ke tempat kerja, banyak perkara yang boleh kita lakukan. Kita juga tidak perlu bersesak di jalan raya seperti orang lain. Kita boleh bekerja mengikut waktu kita sendiri. Bila kita tidak stress dengan semua itu, kita akan menjadikan masa bersama anak-anak dengan lebih bermutu.


Alhamdulillah... Syukur sangat dengan nikmat Yang Allah berikan.

No comments:

Post a Comment